Monday, September 1, 2008

Madrasah Ramadhan

Madrasah Ramadhan

Secara disedari atau tidak, sedang kita berjalan melayari kehidupan di dunia ini, kita sudah sampai ke kebun Ramadhan. Sebagai Muslim yang memahami kelebihan dan fadhilat Ramadhan, bukanlah keterlaluan perbandingan itu dikemukakan.


Setahun kita bekerja dan mengembara dalam kehidupan yang penuh cabaran bagaikan musafir yang mengharungi padang pasir dengan penuh keletihan. Sebagai musafir yang waras, pasti hatinya amat riang melihatkan di hadapannya pelbagai aneka buah-buahan dan bunga-bungaan dalam kebun Ramadhan. Seluruh tenaga, keimanan, semangat, azam, tekad, perjuangan dan motivasi akan pulih dengan serta–merta daripada keletihan atau malas sebelum ini.


Ramadan bukanlah sekadar menjanjikan buah-buahan yang enak sahaja, malah pelbagai aneka makanan, minuman dan pelbagai keperluan hidup yang lain. Kuih yang tidak pernah muncul sebelum ini akan bertaburan bagaikan kemunculan cendawan pada musim hujan.


Sekiranya kegembiraan dan kemewahan makanan jasad begitu memuaskan, bagaimanakah pula dengan makanan rohani. Sesungguhnya tujuan sebenar Ramadan dan segala amalannya seperti berpuasa, bersolat tarawih, solat, qiam al-lail, bersedekah, beriktikaf, membaca al-Quran dan sebagainya adalah makanan rohani bukan jasmani.


Situasi Ramadan bagaikan taman eksklusif yang sarat dengan aneka buah-buahan itu menunjukkan Ramadan juga adalah bulan motivasi.

Motivasi ialah faktor penggerak untuk melakukan sesuatu. Jika anda menemui suatu perkara yang dengannya anda terpanggil untuk bekerja, bertindak atau melakukan sesuatu, maka itulah motivasi bagi anda. Motivasi juga berkait rapat dengan kehendak yang ingin dicapai.


Sebagai manusia yang serba kekurangan dan dipagari dengan kesilapan atau kelalaian, kita memerlukan motivasi dalam kehidupan ini bagi memastikan kehidupan sentiasa maju, membangun dan positif. Sebagai Muslim dan mukmin juga, motivasi amat diperlukan kerana tahap keimanan kita sentiasa mengalami pasang surutnya. Sehubungan itu, Islam melalui wahyu Allah swt dan hadis Rasulullah saw mengatur dan memprogramkan pelbagai kegiatan dan disiplin hidup setiap waktu untuk memberi ransangan dan motivasi kepada mukmin.


Setiap hari seorang Muslim diwajibkan untuk menghadap Allah swt sekurang-kurang lima kali. Lima kali sehari juga akan kedengaran laungan azan seruan Ilahi di segenap pelosok dunia yang mendorong Muslim menuju ke masjid dan mengerjakan solat.


Di sebalik ibadat solat ini, tersirat pelbagai bentuk motivasi yang mendorong Muslim berjuang dan bekerja dalam hidup ini sebagai suatu bekalan hidup di dunia dan di akhirat. Motivasi ibadat atau amal soleh ini didisiplinkan oleh Allah swt setiap hari, setiap bulan dan tahun.


Dalam setahun, Allah swt mengkhususkan sebulan amal iaitu Ramadan al-Mubarak. Ibadat seperti puasa, solat tarawih, iktiraf, tadarus al-Quran, Qiamullail dan sebagainya adalah penjana dan penyubur keimanan dan motivasi Muslim.


Allah swt juga merakamkan dengan jelas, ganjaran terbesar untuk orang yang melakukan ibadat

pada Ramadan ini dengan malam al-Qadr. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran ) pada malam kemuliaan.” Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu,turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar. (Surah al-Fajr,ayat: 1-5)


Bertolak daripada konsep ibadat dan amal soleh sebagai motivasi utama kehidupan Muslim, serta fadilat Ramadan, maka akan dikupas beberapa motivasi yang boleh didapati sepanjang Ramadan. Semoga Ramadan kali ini benar-benar berfungsi sebagai bengkel dan kursus yang berkesan dalam pembentukan personaliti umat Islam yang bermotivasi tinggi.

Antara faktor dan sumber penting motivasi Ramadan ialah ibadat puasa itu sendiri. Sekiranya puasa itu tidak dilaksanakan dengan baik, pasti akan membina potensi, semangat dan kekuatan kepada Muslim kerana:


Bebas daripada kongkongan nafsu, dunia dan kebendaan malah bergantung penuh dengan kudrat dan iradat Allah swt.

Puasa dengan penuh keikhlasan menjadi syarat penting untuk mendapat semangat dan pertolongan dan kekuatan daripada Ilahi.

Kekuatan iman dan taqwa yang terbina melalui ibadat puasa menambahkan lagi pelbagai kekuatan yang lain seperti, tawakal kepada Allah, keyakinan terhadap balasan Allah di dunia dan akhirat, yakin terhadap kebenaran janji Allah swt dan sebagainya.


Semoga Ramadan kali ini benar-benar membina motivasi dan semangat untuk beramal menambahkan bekalan hidup dunia dan akhirat. Amatlah malang kalau pada peringkat awalnya saja semangat berkobar-kobar tapi penghujungnya lesu, tidak bermaya, malas dan tidak semangat untuk beramal.


Sebagai insan biasa kita mungkin mengalami saat kebosanan, kesusahan dan kelesuan dalam hidup. Alangkah bertuahnya insan yang dirundung malang itu tiba-tiba dikunjungi tetamu istimewa dengan membawa pelbagai hadiah, bonus dan segala keperluan hidup yang mewah secara percuma dan penuh kasih sayang.


Pelbagai bentuk motivasi, ganjaran, pekerjaan dan upah yang amat lumayan dicurahkan kepada kita tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Harapannya satu, semoga kita mengambil faedah sebaik mungkin terhadap segala anugerah kemewahan yang diberikan. Apabila kita meneliti dan merenungi keterangan al-Quran dan hadis, bukanlah keterlaluan andainya Ramadan yang mengunjungi kita saban tahun itu menjadi tetamu agung yang diceritakan itu.


Suatu yang menyedihkan sekali kebanyakkan manusia yang menerima kunjungan tetamu itu tetap membatu dan membisu seribu bahasa. Pintu yang diketuk langsung tidak dibukanya. Panggilan dan salam yang diucapkan bertalu-talu langsung tidak terjawab. Sebaliknya, si penghuni rumah terus tidur nyenyak bersama mimpi indahnya.

Gambaran seperti ini adalah fenomena yang wajar dan biasa berlaku kepada orang Islam ketika mereka menyambut Ramadan.


Walaupun mereka pernah mendengar keagungan dan fadilat Ramadan dan amalannya, tetapi bagaikan mencurah air pada daun keladi. Semoga Ramadan kali ini mampu mengubah sikap, pandangan dan amalan kita terhadap Ramadan. Marilah kita melihat beberapa penjelasan Rasulullah saw mengenai Ramadan sebagai tetamu agung itu.


Pada akhir Syaaban, ketika menjelangnya kemunculan Ramadan, Rasulullah saw sering memberi ceramah, pengajaran dan peringatan seperti berikut yang maksudnya: “Wahai manusia! Sudah datang kepada kamu sebulan yang agung lagi diberkati sebulan yang ada padanya satu malam (Lailatul Qadar) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah swt menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardu dan terdiri pada malamnya (bertarawih) sebagai satu amalan sunat.”


Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat, maka ganjarannya seumpama orang yang menunaikan satu fardu pula adalah seumpama orang yang menunaikan 70 fardu pada bulan yang lain. Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Telah datang kepadamu Ramadan, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.”


Antara doa dan ucapan Rasulullah saw dan sahabat apabila melihat anak bulan Ramadan ataupun ketika memasuki hari pertama Ramadan adalah seperti berikut: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutupnya, maka sempurnakanlah hisab bulan Syaaban 30 hari.”


Sebuah hadis lagi menyatakan: “Sesungguhnya apabila Nabi saw melihat anak bulan baginda berdoa: Wahai Tuhan yang telah menampakkan awal bulan bagi kami, dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah, hilal yang benar dan baik.”


Hari ini Ramadan yang baru sudah tiba. Hari ini, anda juga boleh dilahirkan kembali, kalau anda berkemampuan untuk mengenali dan menguasai diri anda. Hadis di atas menjelaskan bahawa Ramadan ini boleh diketahui dengan rukyah atau penglihatan mata atau melalui teropong angkasa, ataupun melalui hisab atau pengiraan bulan. Ketahuilah anda bahawa diri kita juga boleh dikenali dengan peneropongan ke dalam diri serta muhasabah.


Sekian , Wassalam

1 comment:

Ibnurashidi said...

salam..

Juadah, Jualan dan pelbagai situasi begitu mari kita jadikan sebagai penguat semangat untuk terus menunaikan ibadah. Orang kata lagi banyak cabaran lagi kuat beribadatkan. tak gitu?

Macammana puasa disana?ingin tahu ceritanya.