Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya saya akan menerima mesej yang difowardkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta para Sahabat. Hadis tersebut berbunyi:
Malaikat jibril Menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang
tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.” Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak3 kali.
Saya sudah berusaha sedaya mampu saya mencarinya di dalam kitab-kitab hadis namun tidak saya temui. Malah kitab-kitab fiqh juga tidak membahaskan mengenai perlunya meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan bagi mengelakkan diabaikan puasa kita oleh Allah Subhana wa Ta’ala. Kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini”.
Untuk lebih memahami hal berkaitan hadis dan larangan menyebarkan hadis yang tidak sahih atau diragui kesahihannya oleh penyebar, sila rujuk tulisan saya yang bertajuk Berdusta Ke Atas Rasulullah.
Saya tidak berani meletakkan darjat hadis tersebut (samada sahih, hasan, dhaif atau palsu) kerana biarlah mereka yang lebih alim dalam bidang hadis melakukannya. Cuma yang boleh saya katakan, saya (dan beberapa orang yang turut pernah menyemaknya) tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya. Sesiapa yang menyatakan ia sahih, sila kemukakan hujah dan bukti dan sampaikan pada saya agar saya boleh mendapat manfaat ilmu itu.
قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.[al-Baqarah 2:111]
Adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang difowardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma:
أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.
Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.
Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.
Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.” [Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]
Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut nyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan. Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal. Saya menulis bukan untuk membahaskan darjat hadis tersebut di sini tetapi fokus saya adalah berharap agar pembaca dalam membetulkan sikap dalam berinteraksi dengan hadis terutama yang kita tidak tahu sumbernya.
SIKAP KITA VS SIKAP PARA SAHABAT BERINTERAKSI DENGAN HADIS
Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati. Berbeza sekali dengan kita pada hari ini, dengar sahaja “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini” terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati. Mari kita lihat satu contoh sikap berhati-hati para Sahabat apabila berinteraksi dengan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata:
Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
إذا استأذن أحدكم ثلاثاً فلم يؤذن له فليرجع
“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”
Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda sedemikian. [Sahih al-Bukhari – no: 5891]
Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]
Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]
BERDIAM DIRI LEBIH BAIK
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. [Sahih Muslim - hadis no: 5]
Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:
[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.
[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .
[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.
Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta’ala:
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]
Di Copy Dari :
Koleksi Soal Jawab Agama:Doa ramadhan malaikat jibril. Benarkah ia wujud?
No comments:
Post a Comment