Friday, August 29, 2008

Pertunangan bukan lesen 'P'


Rasanya rata-rata pasangan yang sedang di dalam tempoh pertunangan akan menghadapi masalah mengawal batas-batas perhubungan di antara pasangan. Kalau sebelum bertunang segala-galanya jelas; tidak boleh dating, tidak boleh berbalas sms, tidak boleh tegur menegur ikut suka dan sebagainya, tetapi di dalam tempoh pertunangan ianya akan menjadi sedikit kelabu. Mungkin sebab itulah agaknya sebahagian ibu bapa lebih suka menangguhkan majlis pertunangan dan melewatkannya sehingga hampir-hampir hari pernikahan. Ibu bapa tidak yakin agaknya anak-anaknya yang wara’ ini boleh mengawal perasaan dan jiwa mudanya ketika tempoh bertunang. Sebelum ini saya lebih suka jika mana-mana pasangan yang telah nekad untuk hidup bersama melangsungkan pertunangan rasmi agar setiap pasangan merasai sedikit komitmen dan menyediakan diri untuk perkahwinan itu. Tetapi setelah melihat beberapa kes yang berlaku kepada beberapa pemuda-pemudi wara’, rasa seperti saya terpaksa menyokong pula pandangan kebanyakan ibu bapa.

Pertunangan dalam erti kata mudahnya adalah satu proses menanda bahawa diri ini sudah berpunya. Sebab itu lepas seseorang bertunang, dia akan pakai satu cincin yang di dalam masyarakat kita dikenali sebagai cincin tanda. Kalau orang Arab, mereka akan memakai cincin tersebut di jari tertentu untuk menunjukkan bahawa dia sudah bertunang. Kalau sudah berkahwin, cincin dipakai di jari lain. Dalam erti kata mudah kita kata pertunangan ini hanyalah satu proses ‘cup’ sahaja.

Ada atau tidak apa-apa komitmen semasa tempoh pertunangan? Jawapannya ada tetapi amat sedikit. Lelaki tidak wajib memberikan nafkah. Wanita pula tidak wajib taat dan minta izin ke mana-mana dari tunangnya. Lelaki tidak wajib menyediakan rumah dan wanita pula tidak wajib mengemas rumah tersebut untuk tunangnya. Jika putus tunang, tidak ada eddah dan tidak juga perlu untuk pulangkan kembali hadiah-hadiah pertunangan kecuali mahar untuk perkahwinan yang kadang-kadang diberikan awal. Komitmen yang perlu diberikan adalah wanita perlu setia dan tidak menerima pinangan orang lain kecuali setelah pertunangan itu diputuskan secara rasmi. Lelaki mungkin boleh meminang orang lain sebab syarak benarkan dia untuk berkahwin empat, tapi macam gelojoh sangat pula jika si lelaki meminang lebih dari seorang wanita semasa masih bujang.

Ini semua kerana pertunangan bukan perkahwinan. Bezanya amat jauh. Kebenaran yang diberikan oleh syarak kepada orang yang bertunang tidak sama dengan kebenaran kepada orang yang sudah berkahwin. Permilikan mutlak masih lagi belum berlaku. Maka batas-batasnya sama seperti orang-orang bujang yang lain. Si wanita pada tunangnya adalah orang asing. Kalau si wanita jumpa ayah lelaki tersebut dalam tempoh pertunangan masih lagi belum boleh mencium tangan ayahnya sebab ayah lelaki itu pun masih lagi orang asing. Nak panggil ayah mungkin boleh tapi tak payahlah kot, macam mengada-ngada rasanya. Tidak ada ikatan lagi. Bahkan sebenarnya ayah lelaki tersebut boleh berkahwin dengan tunang anaknya itu kalau putus tunang.

Oleh itu kena kuatkan iman sepanjang tempoh pertunangan. Nak bercakap-cakap boleh kalau ada sebabnya dan dengan adab-adabnya. Ada orang tengah seperti ada ahli keluarganya sekali. Begitu juga berutus sms atau email. Dating tidak sama sekali. Keluar makan sama-sama juga tidak sama sekali.

Saya pernah melihat satu kes di depan mata saya sendiri di mana seorang lelaki bertunang dengan seorang wanita. Dia menziarahi keluarga wanita tersebut bersama keluarganya. Sampai situ ok lagi. Tiba-tiba lelaki tadi memanggil wanita, tunangnya itu dan meminta tuangkan air. Ya salaammm. Tak bolehlah macam tu. Dalam satu kes yang lain pula lebih berat dari itu, si wanita memanggil tunangnya dengan kuat di hadapan semua ahli keluarga ‘ABANG’. Belum jadi ‘abang’ lagi saudari! Sabarlah sikit. Jangan tunjuk sangat depan orang. Semua orang tahu awak tu tengah seronok.

Kesimpulannya jagalah batas-batas dengan tunang sama seperti kita menjaga batas dengan orang lain. Ada sedikit tarikan untuk kita mengexpesskan perasaan kita kepada tunang, kawallah perasaan itu. Nanti lepas akad, ungkapkanlah ‘kaulah ratu hatiku’ dan sebagainya.

Bersabarlah sedikit demi sebuah perkahwinan yang Islamik.


Ustaz Fauzi

No comments: